Bunohan bakal cetus fenomena filem tempatan

Filem Bunohan Biarpun hanya akan muncul di pawagam 8 Mac ini, filem arahan Dain Said berjudul Bunohan sudah pun menjadi buah mulut orang ramai.

Sewaktu tayangan perdananya Rabu lalu, dikatakan ramai penggiat seni hadir dan memuji filem yang mengangkat kisah tiga adik-beradik lelaki ini.

Di laman Twitter dan Facebook, Bunohan adalah topik yang hangat diperkatakan kini yang mana digunakan sebagai ”#Hastag” melalui perkataan ”#bunohan”.Bukan saja jalan cerita dan sudut pengarahannya menerima pujian melambung, malah lakonan pelakon utamanya iaitu Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim juga keluar dari kepompong biasa. Selain mereka bertiga, barisan pelakon lain terlibat tidak kurang hebatnya seperti Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Jimmy Lor.

Sesuatu yang istimewa mengenai filem bergenre drama aksi ini ialah kesemua pelakonnya adalah lelaki dan satu-satunya watak perempuan ditampilkan ialah Mek Yah lakonan peragawati terkenal, Tengku Azura.

Kejayaan di luar negara
Tak dapat dinafikan, salah satu faktor membuatkan Bunohan ditunggu-tunggu kerana filem ini terlebih dahulu meraih perhatian di festival filem luar negara.
Sebagai wakil Malaysia, Bunohan telah ditayangkan kepada masyarakat antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Toronto, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam dan Festival Filem Antarabangsa Palm Springs.
Lebih membanggakan, Bunohan turut merangkul Anugerah NETPAC di Festival Filem Taipei Golden Horse yang diberikan bagi menggalakkan pengkarya filem Asia mengetengahkan karya luar biasa.
Kemenangan Bunohan bertepatan dengan kriteria filem ini yang menggunakan cara paling kreatif dan unik di samping menggunakan bahasa sinematik dan menangani pelbagai isu kontemporari Asia.

Selepas ini, pastinya Bunohan akan dikenali di seluruh dunia apabila Universal Pictures bersetuju untuk mengedarkan filem ini di beberapa negara luar termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Sokongan penonton tempatan 
Sebagai pengarah, tiada yang lebih diharapkan Dain melainkan agar Bunohan diterima baik oleh peminat filem tempatan.
Maklumlah, filem ini mungkin sudah berjaya di luar negara tetapi tiada gunanya jika peminat negara sendiri tidak menyokong. Lebih-lebih lagi filem pertama arahan Dain, Dukun tidak dapat ditayangkan di negara ini atas beberapa faktor.

Sekiranya Bunohan mendapat sambutan hebat, sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan Dain dan peminat yang ternanti-nanti tayangan Dukun.

SINOPSIS FILEM BUNOHAN
BUNOHAN adalah sebuah kisah tragik kasih sayang antara tiga beradik dan bapanya yang kian uzur. Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, beransur ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan. Filem ini bermula jauh di kampung pedalaman bahagian selatan Thailand, berdekatan sempadan Malaysia. ‘Bunga Lalang‘ atau Adil (ZAHIRIL ADZIM) mengambil bahagian dalam pertandingan tinju Tomoi yang melibatkan pertaruhan wang, maruah dan nyawa. Sahabat lama Adil sempat menyelamatkannya dari pinggir maut, mengubahkan mereka menjadi pelarian penganjur pertinjuan haram tersebut. Ilham (Anugerah Skrin 2003, Pelakon Sokongan Terbaik, Faizal Hussein), seorang pembunuh upahan dihantar untuk memburu mereka sesedang kedua-dua sahabat itu berada dalam perjalanan pulang ke Kampung Bunohan. Kampung Bunohan juga merupakan kampung halaman Ilham yang sudah lama ditinggalkan. Ilham tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya berada di anjung nyawa. Pada waktu yang sama, Bakar ( PEKIN IBRAHIM) abang sulung Adil juga pulang ke Kampung Bunohan kononnya untuk menjaga bapa mereka yang uzur. Perwatakan solehnya tersembunyi niat buruk seorang usahawan bercita-cita tinggi. Bakar seorang yaang berhati kejam yang sanggup melepaskan segalanya untuk mencapai kekayaan. Sekembali mereka bertiga ke kampung halaman di mana takdir mereka menunggu. Dalam bayangan kegelapan diri masing-masing timbul, memori silam yang dipenuhi keinginan, penghukuman, dan perasaan kehilangan. Dalam BUNOHAN, di sinilah bermulanya segala keperitan.

Powered by WordPress | Lirik Lagu Terbaru