Fajar Kuala Lumpur

fajar april itu menjelma dengan garis merah
embun pagi entah kenapa begitu cepat keringnya,
bara dan panas menusuk-nusuk sukma membelah tangkai rasa
edward gent berdiri dengan pedang di pinggang
memerhati union jack yang bergulung di puncak tiang
ada bara benci menyelinap di tangkai dendam
detiknya telah tiba

mana rimba yang perlu digondolkan
mana bijih yang perlu ditakungi
mana emas perlu digali
mana lagi tanah yang belum kuinjaki
mana Melayu yang mahu bangkit menentang
raja-raja mereka tangannya telah kurantai besi
Melayu menjadi pengemis di bumi sendiri

di angkasa matahari menebarkan cahaya panasnya
kelibat para sultan masih tiada
sang gabenor mengangkat sumpah
tiada sultan menjadi saksi
union jack bergulung di puncak tiang
hatinya meraung membelah langit kuala lumpur
bangsa ini sudah mula bermain api
ini Melayu benar-benar menempah bara
terasa pedang di tangannya penuh darah

kuala lumpur digegar tempik dan sorak
station hotel yang sepi bertukar menjadi laut manusia
lelaki-lelaki bersongkok berlilit kain putih menjeritkan suara
ini sebuah perkabungan
ini sebuah penindasan
ini sebuah penipuan
inggeris itu sudah ingin bermain api
marilah ambil darahku
marilah belah jantungku
jangan kauambil tanahku
jangan kauambil raja-rajaku

daulat tuanku dilaungkan menerjah cakerwala
hidup melayu digemakan membelah langit
wanita-wanita selendangnya basah oleh airmata
gembira dan sayu bercantuman bersama panas mentari
syukurlah raja-raja masih bersama rakyat
pemuda-pemuda menjeritkan sumpah
perjuangan kita baru bermula
bersatu mari kita rempuh malayan union

gema suara berdentuman membelah kuala lumpur
raja-raja menatap rakyat penuh sayu
hanya airmata yang mengalir melukiskan gundah kalbu
rakyat dan raja bersatu di benteng terakhir
kuala lumpur menjadi saksi
gelora bangsa mengharung perjuangan
seorang pemuda penuh gagah bersuara
raja itu rakyat
rakyat itu raja
ini bumiku bumi Melayu
jangan ambil tanahku
jangan ambil raja-rajaku

Powered by WordPress | Lirik Lagu Terbaru